Stories I only tell my friends: The Power Of Belief-System

December 21, 2011

KEMAHIRAN BERFIKIR – Part 6

Filed under: Uncategorized — mylittleblackpen @ 2:25 am

KEMAHIRAN MIKRO

Segala usaha pemikiran ditujukan kearah penyelesaian masalah dan/atau membuat keputusan.Langkah-langkah tertentu dilalui apabila individu menyelesaikan masalah dan/atau membuat keputusan. Sesuatu langkah itu melibatkan beberapa kemahiran berfikir mikro secara langsung atau tidak langsung.Kemahiran mikro ini terdiri daripada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif.

PEMIKIRAN KRITIS

Perkataan critical dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan kritikos yang bererti menyoal untuk mempertingkatkan kefahaman.Dewey(1933) menyifatkan pemikiran kritis sebagai ‘pemikiran reflektif’ iaitu memikir dengan mendalam dan memberi pertimbangan yang serius tentang sesuatu. Menurut Bloom (1956), pemikiran kritis melibatkan tiga jenis aktiviti mental, iaitu analisis, sintesis dan penilaian. Pada peringkat penilaian individu menilai maklumat berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan atau kriteria yang ditentukan oleh individu berkenaan. Ennis (1985) mentakrifkan pemikiran kritis sebagai pemikiran reflektif yang bertumpu kapada memutuskan sama ada sesuatu itu boleh dipercayai atau tidak. Pemikiran kritis memerlukan pemikir menganalisis pernyataan-pernyataan dengan berhati-hati, mencari bukti yang sah sebelum membuat kesimpulan.

Kebolehan menilai adalah asas kepada pemikiran kritis; iaitu menilai idea, bukti, cadangan, tindakan dan penyelesaian. Individu yang berfikir secara kritis membuat penilaian sama ada hendak menerima sesuatu alasan itu sebagai munasabah; menggunakan kriteria atau nilai tara yang dipersetujui untuk menilai alasan berkenaan, menggunakan pelbagai strategi penakulan dalam pelaksanaan kriteria atau standard tersebut; dan mencari maklumat yang boleh dipercayai sebagai bukti yang menyokong keputusan yang dibuat. Pelajar yang diajar berfikir secara kritis;

  • Belajar cara menyoal; bila perlu menyoal dan jenis soalan yang hendak ditanya.
  • Belajar bagaimana menakul; bila menggunakan penakulan dan kaedah penakulan yang hendak digunakan (Fisher, 1992).

Kemahiran mikro

Jika pemikiran kritis hendak diperkembangkan,adalah penting untuk memperincikan jenis pemikiran ini kapada kemahiran-kemahiran mikro yang mudah dioperasikan dalam tugas seharian.Dibawah terdapat beberapa kemahiran mikro yang sering digunakan dalam pemikiran kritis.

  • – memberi pendapat                     – mempertahankan idea
  • – menguji hipotesis                        – menolak / menerima pandangan
  • – mengadili                                        – mengutamakan
  • – mentafsir                                         – menilai kebaikan / keburukan
  • – menyokong pendapat                – menentukan kesahan
  • – memastikan sumber                   – menentukan keboleh-percayaan
  • – membuat inferens                       – membanding / membeza
  • – mengelas / kategori                    – meringkas – menghubung kait
  • Kronologi
  • Sebab kesan
  • Bentuk perkataan
  • Bentuk grafik
  • Perbezaan
  • Mengesan falasi                              – fakta dan andaian

                                                                            – fakta dan pendapat

Kemahiran ini penting untuk membantu individu berfikir secara rasional tentang pelbagai isu dan masalah dalam kehidupan seharian. Pemikiran kritis diperincikan kepada kemahiran-kemahiran ini supaya mudah dioperasikan.

DISPOSISI (SIKAP PEMIKIR KRITIS)

Seorang pemikir kritis tidak hanya cekap menggunakan kemahiran mikro tetapi juga mempunyai disposisi atau sikap tertentu. Dengan kata lain, seorang yang berfikir dengan kritis tidak hanya mahir menilai maklumat tetapi juga seorang yang:

  • Berfikiran rasional. Individu yang menaakul dengan kritis dapat meneliti pengalamannya, menilai dan menimbang pelbagai pendapat dan idea sebelum membuat keputusan. Mereka juga dianggap mempunyai kemahiran pengadilan (judgement), iaitu dapat mempertimbangkan dan memutuskan kesahihan pernyataan yang dikemukakan oleh pihak tertentu.
  • Ingin tahu dan minda terbuka. Mereka sanggup mendengar dan meneliti pandangan dan idea orang lain; mereka akan menangguhkan pengadilan apabila maklumat yang ada tidak lengkap.
  • Mengutamakan kejituan, objektif dan inginkan kejelasan serta ketepatan; mereka sentiasa memastikan mempunyai maklumat yang mencukupi.
  • Sentiasa mencari alternatif.
  • Sensitif terhadap perasaan orang lain.

Perbincangan Socratic dan Pemikiran Kritis

Asas kapada pemikiran kritis ialah perbincangan dan salah satu pendekatan yang diketengahkan ialah Perbincangan Socratic (Socratic Discussion). Menurut Socrate, melalui proses dialog diantara pihak-pihak yang terlibat, isu yang dipertikaikan akan menjadi lebih jelas. Melalui perbincangan Socratic, pemikiran individu dicabar dan diperkembangkan. Sambil itu individu juga dapat menilai cara mereka berfikir. Berikut ialah contoh-contoh soalan yang dapat memandu perbincangan Socratic.

1. Soalan untuk mendapatkan penjelasan

  • Apakah yang kamu maksudkan dengan ———— ?
  • Apakah idea utama?
  • Bagaimana ——— berkaitan dengan ———– ?
  • Bolehkah kamu berikan contoh?
  • Adakah ——— contoh yang baik?
  • Bolehkah kamu nyatakan dengan cara lain?
  • Mengapa kamu katakan begitu?
  • Apakah Said maksudkan dengan jawapannya tadi?
  • Faridah cuba meringkaskan menggunakan perkataan sendiri apa yang dinyatakan oleh said?

2. Soalan yang menyiasat andaian

  • Apakah andaian kamu Arif?
  • Apakah andaiaan yang dibuat oleh Faridah?
  • Kamu membuat andaian bahawa ———– . Betulkah andaian kamu?
  • Adakah ———- selalu wujud? Mengapakah kamu katakan andaian ini selalu wujud?
  • Mengapakah seseorang akan membuat andaian yang sama?

3. Soalan yang menyiasat sebab dan bukti

  • Mengapakah kamu kata ——— benar?
  • Adakah kamu mempunyai bukti?
  • Apakah sebab kamu nyatakan ——— ?
  • Apakah maklumat lain yang diperlukan?
  • Tetapi, adakah ia bukti yang boleh dipercayai?
  • Apakah kamu meragui bukti yang diberikan?
  • Bagaimana kamu sampai kepada kesimpulan itu?
  • Bagaimana kita dapat memastikan bahawa ia adalah benar?

4. Soalan yang mendapatkan pandangan / pendapat

  • Mengapakah kamu pilih perspektif ini?
  • Bagaimana kamu dapat menjawab bantahan kepada pendapat kamu?
  • Apakah pandangan alternatif?
  • Apakah akan dikatakan oleh seorang yang tidak setuju?

5. Soalan yang menyiasat implikasi dan kesan

  • Apakah implikasi pernyataan kamu?
  • Bila kamu nyatakan ——— implikasi yang kamu maksudkan ialah ———— ?
  • Apakah kesannya?
  • Jika ia berlaku, apakah kesan lain yang mungkin berlaku?

6. Soalan mengenai soalan

  • Bagaimana kita tahu mencarinya?
  • Mengapakah soalan ini penting?
  • Bolehkah kita perincikan lagi soalan ini?
  • Apakah soalan jelas?
  • Adakah soalan ini meminta kita menilai sesuatu?
  • Sejauh manakah kita bersetuju dengan soalan ini?

PEMIKIRAN KREATIF

Adakah semua orang boleh dikategorikan sebagai kreatif? YA, Cuma yang berbeza ialah sejauh manakah indivividu itu berjaya memperkembangkan kreativitinya.Juga kreativiti tidak hanya bertumpu kepada kemahiran menghasilkan sajak, lukisan, muzik dan sebagainya, tetapi merupakan konsepsi-konsepsi lazim tentang orang yang kreatif. Sepanjang hayat kita dididik supaya berfikir secara logikal, sistematik dan objektif. Kita kurang digalakkan menggunakan intuisi dan imaginasi dan ini sedikit sebanyak menghalang kita menjadi kreatif. “Sesuatu yang sering digunakan akan menjadi kuat dan berkembang manakala sesuatu yang tidak digunakan akan layu dan mati”

Pemikiran kreatif dikaitkan dengan pemikiran yang asli dan kewujudan idea-idea baru. Lazimnya, pemikiran kreatif melibatkan penghasilan sesuatu seperti sajak, teori sainstifik, jenis perniagaan baru, iklan yang inovatif dan sebagainya. Pemikiran kreatif juga melibatkan keberanian mencabar strategi yang lazim digunakan, iaitu kebolehan melihat sesuatu situasi daripada sudut yang berlainan. Halpern (1984) mentakrifkan pemikiran kreatif sebagai kebolehan membina kombinasi idea-idea bagi memenuhi sesuatu keperluan. Perkin (1984) menyifatkan pemikiran kreatif sebagai menghasilkan sesuatu yang kreatif atau asli. Hasil itu mungkin merupakan sesuatu keputusan, kesimpulan, pembentukkan hipotesis atau sesuatu seperti lukisan, sajak atau kaedah melakukan sesuatu. Dengan lain perkataan kreativiti mestilah merupakan suatu hasil.

  1. Kreativiti wujud hasil daripada pelaburan masa, penyediaan dan ketekunan. Ini adalah bertentangan dengan setengah pendapat yang menyatakan kreativiti memerlukan ketekunan kerja dan pemikiran bertumpu. Prasyarat kreativiti ialah kejituan, ketekunan dan menceburi sesuatu isu untuk masa yang lama. Kreativiti memerlukan konsentrasi dan keazaman yang kuat, dedikasi dan disiplin kendiri. Adalah tidak benar kreativiti wujud daripada inspirasi tanpa usaha atau spontan tanpa pemikiran yang lama dan usaha kepada sesuatu yang dianggap oleh orang lain sebagai tidak berhasil atau berfaedah.
  2. Selain dari pelaburan masa individu kreatif berani mengambil risiko mencapai matlamat mereka dan menolak alternatif-alternatif yang ternyata kerana mereka ingi mencari sesuatu yang lebih sempurna dan luar biasa. Mereka tidak mendapat kepuasan jika sesuatu itu hanya bersifat ‘lebih kurang’, tetapi sentiasa ingin mencari sesuatu yang lebih efisien, dapat menjimatkan atau dapat berjalan dengan lebih baik.
  3. Kreativiti memerlukan motivasi intrinsik seperti dedikasi, bertungkus-lumus dan ingin terlibat dengan idea. Juga indiividu yang kreatif menentukan kriteria mereka sendiri untuk menilai hasil mereka dan bukan dinilai oleh orang lain.
  4. Kreativiti melibatkan penyusunan semua idea-idea. Ini ditakrifkan sebagai ‘pemikiran fleksibel’ oleh Perkin (1984); ‘pemikiran bercapah’ oleh Guilford (1967) dan ‘pemikiran lateral’ oleh de Bono (1970).

KEMAHIRAN MIKRO

– ciptaan – melahirkan – baiki – meneka – rekaan – wujud – ubahsuai – anggaran

– pelan- imaginasi – cadangan – idea baru – rancangan – hasilan –  ekstrapolasi       – pendapat – elaborasi – abstraksi – fantasi – baru

– inferen – inovasi – rumusan- susun – ramalan – spekulasi -wawasan -binaan semula – alternatif – adaptasi semula

Pemikran kreatif melibatkan kebolehan yang berkaitan dengan kefasihan (fluency), kelenturan (flexibility), keaslian (originality) dan perkembangan (elaboration).

Kefasihan ialah kebolehan menghasilkan seberapa banyak idea yang boleh dipelbagaikan; dan kebolehan melihat berbagai-bagai kaitan dan pola. Fleksibiliti ialah kemahiran keluar daripada pendekatan yang biasa untuk menyelesaikan masalah, menguji andaian-andaian dan memperkembangkan perspektif baru. Keaslian ialah kebolehan menghasilkan idea-idea yang asal (asli) yang tidak pernah lagi diperkenalkan. Perkembangan ialah kebolehan menambah lengkap kepada idea-idea asas yang dihasilkan.

HALANGAN KEPADA PEMIKIRAN KREATIF

Terdapat berbagi halangan kapada manusia untuk menjadi lebih kreatif. Iaitu halangan ‘dalaman’ dan ‘luaran’. Halangan dalaman ialah rancangan yang wujud daripada diri sendiri seperti takut dikritik atau takut gagal. Dan halangan luaran seperti persekitaran atau budaya seseorang yang tidak menggalakkan individu menyoal atau mencuba. Berikut ialah antara halangan-halangan kepada pemikiran kreatif.

  • Tidak dapat mengenal pasti masalah yang hendak diselesaikan.
  • Memberi perhatian kepada apa yang kita ingin lihat sahaja.
  • Gagal menggunakan kesemua deria.
  • Kesukaran mencari hubung-kaitan diantara maklumat yang tidak berkaitan.
  • Takut gagal.
  • Takut dikritik jika mencadangkan idea baru.
  • Takut mengmbil risiko.
  • Gagal mengeram.
  • Toleransi terhadap ambiguiti rendah.

A Little Black Pen

Advertisements

%d bloggers like this: