Stories I only tell my friends: The Power Of Belief-System

December 19, 2011

KEMAHIRAN BERFIKIR – Part 3

Filed under: Uncategorized — mylittleblackpen @ 9:14 am

PSIKOLOGI PEMIKIRAN

Dalam bahagian ini, ditinjau pemikiran dari sudut psikologi; iaitu bagaimana manusia menggunakan pelbagai proses pemikiran dalam kehidupan seharian. Istilah ‘pemikiran’ digunakan dalam pelbagai konteks dan situasi. Minda seseorang boleh difahami dengan melihat tingkahlaku mereka. Pemikiran ialah segala proses mental, intelek, perasaan dan sensasi.

Konsep pemikiran

Ahli psikologi telah mengkaji fenomena pemikiran dengan tujuan menerangkan hasil (product) dan proses (process) pemikiran. Tumpuan ialah kepada heuristik yang digunakan semasa pemikiran. Walau bagaimanapun pendekatan yang digunakan untuk mengkaji proses pemikiran berbeza mengikut teori pemikiran yang diamalkan. Contohnya, konsep pemikiran yang diterangkan oleh ahli psikologi behavioris berlainan daripada penerangan ahli psikologi kognitivis.

1. Pemikiran sebagai ‘CUBA-JAYA

Menurut ahli psikologi behavioris pemikiran ialah satu usaha ‘cuba-jaya’, iaitu pertalian antara rangsangan dan respons. Teori ini terdiri dari tiga komponen; iaitu rangsangan, Ra (sesuatu situasi penyelesaian masalah),respons, Re; (tingkahlaku penyelesaian masalah tertentu) dan kaitan antara rangsangan tertentu dan respons tertentu (lihat rajah). Organisma akan cuba sehingga berjaya mencapai pertalian ini. Pertalian ini diandaikan berlaku dalam minda organisma dan dipamerkan dengan penyelesaian masalah berkenaan (Ra-Re). latihan mengeratkan pertalian antara rangsangan dan respons; dan respons yang tidak membantu proses penyelesaian masalah, lama kelamaan akan kehilangan kesannya. Pertalian antara rangsangan dan respons akan bertambah kukuh sekiranya terdapat kesan yang menyeronokkan selepas menyelesaikan sesuatu masalah.

RANSANGAN      >>>   ????    >>> RESPON

Rajah – Teori pemikiran behavioris

Apakah yang berlaku antara rangsangan dan respons? Hull(1943) meramalkan bahawa respons-respons kecil berlaku diantara Ra dan Re yang membawa kepada penyelesaian masalah. Watson(1930) menyifatkan ini sebagai ‘bercakap dengan diri sendiri’. Oleh kerana apa yang berlaku dalam minda organisma tidak dapat dilihat secara empirikal, kajian mengenainya kurang diberi perhatian. Hanya tindakan yang dapat diperhatikan berlaku, seperti rangsangan dan respons diterima sebagai bukti.

2. Pemikiran sebagai ‘CELIK AKAL’

Menurut ahli psikologi Gestalt, pemikiran atau proses penyelesaian masalah ialah pencarian kaitan antara satu aspek masalah dengan aspek yang lain, dan akibatnya ialah kefahaman struktural. Iaitu kebolihan memahami bagaimana semua bhagian-bahagian masalah dapat disepadukan bagi memenuhi syarat-syarat matlamat. Ini memerlukan mengorganisasi semula elemen-elemen masalah kepada bentuk baru supaya masalah dapat diselesaikan.

Dalam eksperimen klasik yang dijalankan oleh Kohler(1925) seekor monyet yang lapar diletakkan didalam sebuah sangkar. Sebiji pisang digantung dibumbung sangkar tersebut dan terlalu tinggi bagi monyet itu untuk mendapatkannya. Dalam sangkar itu juga terdapat beberapa kotak yang berlainan saiz. Monyet itu cuba mendapatkan pisang dengan melompat beberapa kali tetapi tidak berjaya. Ia pun berhenti seketika dan memerhati sekeliling sangkar dan dengan tiba-tiba mengheret kotak-kotak ketengah sangkar dibawah pisang. Lalu ia menyusun kotak-kotak tersebut bertindih-tindih menjadi seperti tangga dan kemudian memanjat kotak-kotak tersebut dan berjaya mendapatkan pisang.

Apabila monyet secra tiba-tiba sedar tentang pertalian antara kotak-kotak dengan mendapatkan pisang, ia disifatkan celik akal (insight). Kebolihan memerhati pertalian ini ialah kerana monyet itu dapat melihat keadaan secara menyeluruh. Sifat mental ini terdapat pada manusia pada peringkat yang lebih ketara dan lebih tinggi. Penekanan ialah kepada organisasi; bagaimana elemen-elemen itu membina struktur, maka terbina dua jenis pemikiran, iaitu pemikiran productif dan pemikiran reproductif. Pemikiran produktif ialah penciptaan penyelesaian baru bagi satu-satu masalah dan sesuatu hasil baru wujud. Manakala pemikiran reproduktif ialah aplikasi penyelesaian lama kapada satu-satu masalah dan hasilnya mempunyai sifat-sifat lama.

3. Pemikiran sebagai ‘MENCARI MAKNA’

Menurut Ausubel(1968), struktur kognitif atau skemata ialah pengetahuan sedia ada manusia dan terdiri daripada fakta, konsep dan generalisasi yang pernah dipelajari atau didedahkan. Pembelajaran bermakna (meaningful learning) berlaku apabila maklumat baru dapat diasimilasikan ke dalam struktur kognitif individu berkenaan melalui proses subsumpsi. Pendek kata subsumpsi berlaku apabila individu dapat memberi makna kapada maklumat baru berdasarkan pengetahuan sedia ada. Namun demikian, pemikiran ditafsirkan sebagai proses mencari skemata atau pengalaman lalu yang sesuai untuk dikaitkan dengan pengalaman atau maklumat baru.

Contoh:

Dalam beberapa kajian didapati Vitamin C menambah pembentukan sel darah putih.

Malumat baru   – vitamin c tambah sel darah putih

Maklumat lama  – vitamin c lawan selsema

 Tambah sel darah putih – sebab musnah – virus

Kesimpulan – vitamin c menambah sel darah putih untuk menentang virus selsema

4. Pemikiran sebagai ‘PEMBENTUKAN KONSEP’

Pengujian hipotesis atau pemikiran induksi lazimnya dikaitkan dengan pembentukan konsep dan penaakulan analogikal. Pembentukan konsep dikaitkan dengan usaha-usaha Bruner, Goodnow dan Austin (1956) yang menyarankan kepentingan pengkonsepasan. Pembentukan konsep atau kategori memudahkan individu memahami persekitarannya serta mengurangkan tekanan kognitif (cognitive strain).Kategori atau konsep mewakili beberapa objek atau peristiwa yang mempunyai ciri-ciri yang serupa atau hampir sama serta ciri-ciri tertentu yang membezakan sesuatu objek dengan objek yang lain.

Individu yang diberikan masalah mengumpulkan maklumat mengikut kategori tertentu dikatakan akan mengemukakan hipotesis dan peraturan. Contohnya, objek-objek seperti meja, kerusi, katil dan almari akan dihimpunkan dibawah kategori perabut. Dia akan meneruskan proses menghimpunkan mengikut hipotesis ini sehingga ia tidak boleh dipakai lagi.

5. Pemikiran sebagai ‘PEMBINAAN MAKLUMAT’

Sigel (1984) menyifatkan pemikiran sebagai satu proses aktif yang melibatkan beberapa operasi mental utama seperti induksi, deduksi, penakulan, urutan dan klasifikasi. Operasi-operasi ini bertindak secara berasingan atau bergabung semasa menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Pelajar sentiasa secara aktif memerhati dan membina pengetahuan dengan membuat hubung kait antara objek, peristiwa atau orang dipersekitarannya.

Pemikiran individu berkembang dengan menyelesaikan diskrepansi atau kejanggalan yang timbul antara apa yang dijangka dan apa yang sebenarnya berlaku. Sesuatu kejanggalan hanya dapat dikesan  tertakluk kepada peringkat kematangan individu berkenaan. Kanak-kanak membina pengetahuan dengan aktif, bersifat semulajadi dan dengan spontan boleh mengasimilasi pengetahuan  daripada pengalaman dan menyusunnya melalui beberapa operasi mental. Walau bagaimanapun aspek-aspek pengalaman dan cara pengalaman itu disusun adalah terhad dan tertakluk kapada tahap perkembangan kanak-kanak itu.

Cara individu berfikir, apa yang difikir dan bagaimana dia membentang pemikirannya bergantung kepada siapa dia. Iaitu sikap dan perasaannya mengenai kepakaran; atau kesanggupannya mengambil risiko, kelenturan minda dan sebagainya. Ciri-ciri seperti ini mempengaruhi proses pemikiran, iaitu membantu atau menghalang keberkesanan pemikiran. Keadaan dirumah dan cara asuhan juga mempengaruhi pemikiran kanak-kanak. Dalam keluarga yang meggalakkan peluang bercakap, memberi pendapat dan membuat keputusan akan menambah kualiti pemikiran mereka apabila berada diluar rumah atau disekolah. Kanak-kanak yang sering diajar berinteraksi sebagai orang dewasa atau yang banyak terdedah kepada alam orang-orang dewasa serta menerima layanan positif akan muncul sebagai pemikir yang lebih berkesan.

6. Pemikiran sebagai ‘PENAAKULAN DEDUKTIF’

Penaakulan deduktif ialah membuat kesimpulan berdasarkan premis, pernyataan atau maklumat tertentu yang diperoleh daripada berbagai sumber. Individu hanya perlu menyusun idea-idea tersebut kearah mendapatkan satu jawapan yang betul sahaja. Semua butir maklumat yang diperlukan untuk menjawab pertanyaan “Siapakah yang paling tinggi?” telah diberikan. Individu hanya dikehendaki menyusun dan mengaturnya mengikut cara berkesan. Sekiranya, maklumat yang diberikan salah, maka jawapannya pun mungkin salah. Penaakulan deduktif ini juga disebut sebagai pemikiran bertumpu atau konvergen (Fraenkel, 1980).

Contoh:

Ahmad lebih tinggi daripada Leong. Zalina lebih rendah daripada Quek. Yong lebih tinggi daripada Quek. Ahmad lebih rendah daripada Bob dan Mohan lebih tinggi daripada Bob.

Soalan  – Siapa yang paling tinggi?

Jawapan – Mohan

7. Pemikiran sebagai ‘PENAAKULAN INDUKTIF’

Penaakulan induktif juga disebut sebagai pemikiran bercapah tidak ditujukan kearah mendapatkan satu jawapan yang betul. Sebaliknya terdapat lebih daripada satu jawapan yang mungkin betul (Philip, 1994a). Individu yang menaakul secara induktif cuba mengemukakan pelbagai jawapan, idea, kesimpulan dan alternatif yang boleh diterima sebagai betul. Dalam penaakulan induktif individu tidak dapat menyatakan dengan yakin daripada banyak jawapan yang dicadangkan, satu jawapan adalah betul. Mengapa? Ini adalah kerana jarang sekali seseorang meneliti segala kemungkinan. Kemungkinan lain boleh timbul yang memaksa individu mengubah suai pemilihan awalnya.

Contoh:

Masalah: – Apakah cara berkesan mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan oleh kenderaan?

Jawapan, idea, kesimpulan atau alternatif:

  1. menaikkan bayaran tempat letak kereta
  2. meningkatkan kawalan pengeluaran asap kenderaan
  3. menaikkan harga kenderaan membaiki kemudahan pengangkutan awam bagi menggalakkan masyarakat lebih berminat menggunakannya
  4. mendidik masyarakat tentang kepentingan kebersihan alam sekitar

Dalam mendapatkan jawapan yang efektif, individu terpaksa mengkaji kos, cara perlaksanaan dan penerimaan masyarakat terhadap keputusan yang dibuat. Kalau gagal keputusan yang dibuat perlu dikaji semula untuk mendapatkan keputusan yang paling sesuai. Masalah sebegini amat kompleks dan cara penyelesaiannya berubah-ubah.

8. Pemikiran sebagai ‘PENYELESAIAN MASALAH’

Dalam kebanyakan definasi yang diberikan tentang pemikiran, hampir semua bersetuju bahawa pemikiran ialah satu proses penyelesaian masalah. Menurut Simon (1962), semua aktiviti kognitif atau pemikiran pada asasnya ialah langkah penyelesaian masalah didalam kehidupan seharian.

Pada asasnya, terdapat tiga ciri utama penyelesaian masalah iaitu; keadaan matlamat (goal state), keadaan awal (initial state) dan pelaksana (operators). Biasanya penyelesaian masalah dilihat sebagai mencari ruang masalah yang terdiri daripada beberapa masalah yang memerlukan penyelesaian.

Keadaan awal ialah kesedaran tentang masalah dan pemilihan tindakan untuk menukar keadaan awal dalam ruang masalah. Apabila sesuatu tindakan diambil, maka kita berada pada tahap keadaan pertengahan , iaitu kita telah menukar keadaan awal kepada satu keadaan yang lain (berbeza). Apabila kita mencapai matlamatnya (masalah selesai) kita dikatakan telah sampai pada keadaan matlamat. Masalah itu dikatakan selesai apabila kita kita dapat mengubah atau mengurangkan perbezaan antara keadaan awal dengan keadaan matlamat.

Penyelesaian masalah ialah satu proses mencari, dimana individu dikehendaki bergerak daripada permulaan kepada matlamat dalam ruang masalah (Newell dan Simon, 1972). Jadi penyelesaian masalah ialah proses yang melibatkan pergerakan dari satu keadaan kepada satu keadaan lain dengan adanya pelaksana. Teknik ‘pengurangan perbezaan’, bergantung kepadA penilaian atau penentuan persamaan diantara keadaan awal dengan keadaan matlamat.

A Little Black Pen

 

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: