Stories I only tell my friends: The Power Of Belief-System

December 17, 2011

KEMAHIRAN BERFIKIR – Part 1

Filed under: Uncategorized — mylittleblackpen @ 12:35 am

PENGENALAN

Pengetahuan dan ilmu yang dipelajari disekolah akan menjadi lapuk dan tidak banyak ilmu tersebut dapat digunakan dalam perkerjaan yang akan dilakukan kelak. Apa yang kekal dan digunakan sepanjang hayat ialah kemahiran kognitif atau kemahiran berfikir yang dipelajari semasa pengetahuan dikuasai. Pemikiran ialah asas kapada proses pendidikan.

KEMAHIRAN BERFIKIR DIZAMAN MAKLUMAT

Zaman maklumat akan sampai begitu cepat dan mempengaruhi segala kehidupan manusia. Seperti mana Revolusi Perindustrian menukar permukaan bumi dan tempat kerja; dengan membuka bandar, kilang dan bangunan bangunan. Zaman maklumat juga membawa perubahan-perubahan pesat dengan menukar corak tempat kerja dan kehidupan seharian manusia. Naisbitt (1982) dalam bukunya Future Shock.

Dengan terciptanya teknologi maka maklumat lebih mudah diperolehi. Maklumat jauh daripada sempadan sesuatu komuniti dibawa masuk dan manusia mula terdedah kepada idea dan pendapat orang lain. Penciptaan ini telah menambahkan gedung pengetahuan dan maklumat berlipat dua kali ganda dalam tempoh satu generasi sahaja dan ledakan maklumat mula dirasai oleh manusia.

Ledakan maklumat menjadi lebih kompleks dengan perkembangan teknologi tinggi yang menghasilkan peralatan canggih, iaitu sistem penghantaran data elektronik, mikroelektrik, optik fiber dan komunikasi stelit, penghantaran maklumat serta-merta kepelosok dunia menjadi perkara pantas. Teknologi ilmu ini membuka individu kepada khazanah ilmu yang begitu luas samaada positif atau negetif. Kepesatan dan kepantasan penghantaran maklumat mewujudkan situasi dimana limpahan maklumat dengan banyak tetapi masa untuk memprosesnya terhad. Dengan itu seseorang tidak lagi mempunyai alasan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk menyelesaikan sesuatu masalah kerana pengetahuan mudah diperoleh.

Adalah penting bagi individu untuk pintar menilai setiap maklumat dengan kritis, kerana kita terdedah kapada maklumat yang tanpa sempadan, samaada berbentuk negatif atau positif, propaganda, hasutan dan sebagainya.

Nota:  Apakah pengaruh media terhadap generasi muda?

Dapatkah mereka menangani dan menangkis nilai-nilai negatif yang dibaca?

Solusi : Pegangan agama memainkan peranan utama dalam menghadapi cabaran-cabaran dunia moden. Kecekapan berfikir juga dapat membantu individu menilai dan memilih aspek budaya yang berguna dan menyumbang kepada perkembangan diri sambil mengenepikan budaya yang tidak sihat.

KEMAHIRAN BERFIKIR DAN TENAGA MANUSIA

Modenisasi dan perkembangan teknologi membawa bersamanya pelbagai cabaran yang memerlukan tenaga manusia yang cekap, cekal dan bolih berfikir. Sistem ekonomi yang berteraskan perusahaan teknologi tinggi telah mengubah corak dan pola dunia pekerjaan. Seseorang pekerja dijangkakan menukar jenis pekerjaan yang dilakukan sebanyak 5 hingga 8 kali dalam hayatnya disebabkan perubahan teknologi yang pesat ditempat kerja. Namun demikian masalah ini dapat diatasi dengan melengkapkan tenaga pekerja dengan kemahiran-kemahiran berfikir dan kepantasan mempelajari teknologi baru dengan mudah dalam jangka masa yang singkat. Antara kemahiran yang diperlukan ialah kecekapan mengendalikan maklumat, menyelesaikan masalah, berkerjasama, berkomunikasi, berfikir dengan kritis dan kreatif. Pelajar yang keluar dari sistem persekolahan dilengkapkan dengan kemahiran membuat keputusan dan berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka juga harus berinisiatif, sanggup belajar sepanjang hayat dan tidak bergantung kapada orang lain dalam membuat keputusan.

KEMAHIRAN BERFIKIR DAN SISTEM DEMOKRASI

Dalam sistem demokrasi memerlukan rakyat berfikir dan membuat keputusan yang rasional tentang sesuatu. Kebolihan berfikir secara kritis adalah menjadi kewajiban semua rakyat dalam sesebuah negara bersistemkan demokrasi. Rakyat terdedah kapada pelbagai pandangan dan pendapat politik yang berlainan dan ini memerlukan pemikiran yang wajar sebelum membuat keputusan. Mereka harus mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat, tidak mudah terpedaya dengan fahaman-fahaman yang menjejaskan kesejahteraan negara, mereka harus  berfikir dengan matang dan tidak bertindak tergesa-gesa. Sistem demokrasi memerlukan rakyat yang dapat berfikir dan membuat keputusan tentang isu-isu atau sesuatu perkara secara rasional.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PEMIKIRAN

Berfikir atau pemikiran diandaikan seperti ‘pertuturan senyap’ (sillent speech) sepetti bercakap dengan diri sendiri tanpa sebutan. Untuk menguji adakah ini benar, cuba jawab soalan-soalan dibawah.

  1. Berapakah bilangan pintu dirumah kamu?
  2. Apakah huruf selepas ‘q’ menurut abjad?

Mungkin bagi soalan 1, dengan secara tidak langsung kamu cuba menggambarkan dalam minda rumah kamu dan membayangkan diri kamu melalui daripada bilik kebilik sambil mengira bilangan pintu.

Bagi soalan 2 pula, kamu secara senyap menyebut ‘o-p-q-r-s’ kapada diri sendiri. Pemikiran ialah satu proses pengolahan imej dan perkataan dalam minda secara senyap dalam keadaan separuh sedar atau tidak sedar apa yang berlaku ketika berfikir.

Apakah yang ditakrifkan sebagai pemikiran?

Berikut ialah beberapa definasi tentang pemikiran olih beberapa pakar psikologi mengikut tafsiran mereka tersendiri. Costa(1985) menyifatkan pemikiran sebagai proses penerimaan rangsangan-rangsangan luar olih minda melalui deria-deria yang kemudian diproses dan digunakan. Dewey(1933) menyifatkan pemikiran sebagai usaha memeriksa dan menimbang sesuatu butiran maklumat dengan teliti berdasarkan kriteria tertentu. Sigel(1984) mendefinasikan pemikiran meliputi aktiviti-aktiviti seperti refleksi, pengkonsepsan dan penyelesaian masalah. Preseisen(1987) mengandaikan pemikiran sebagai aktiviti mental dimana pengetahuan diperoleh dan diolah melalui proses penaakulan. Ruggerio(1988) sependapat dengan Presseisen tetapi menambah bahawa proses pemikiran mesti ada tujuan atau maklumat dan individu mempunyai kuasa mengawal proses tersebut. Bourne, Eksrand dan Dominowski(1971) juga menyifatkan pemikiran sebagai suatu proses kompleks yang melibatkan proses-proses mental yang menentukan tingkahlaku. Bartlett(1958) mentakrifkan pemikiran sebagai terdiri daripada tiga ciri iaitu, interpolasi (mengisi ruang-ruang kosong), ekstarpolasi (lanjutan daripada maklumat yang sedia ada) dan interpretasi semula (menyusun semula maklumat untuk memberi tafsiran baru). Chaffee(1988) mendefinasikan pemikiran sebagai aktiviti mental yang mempunyai tujuan dan tersusun serta melibatkan individu meneliti pemikiran sendiri dan pemikiran orang lain. Mayer(1983) mengandaikan pemikiran sebagai:

  • Aktiviti kognitif yang melibatkan pengetahuan, pengamatan dan menghasilkan sesuatu. Aktiviti ini berlaku dalam minda seseorang dan dikenal pasti berdasarkan tingkah laku yang dipamerkan.
  • Proses yang melibatkan manipulasi pengetahuan dalam sistem kognitif.
  • Terarah dan mengakhiri dengan tingkahlaku yang bersifat menyelesaikan atau ditujukan kearah penyelesaian sesuatu masalah.

Swart(1989) menekankan bahawa kebolehan berfikir dengan berkesan dalam sesuatu bidang pengkhususan akan terhalang jika pengetahuan individu terhad. Pengetahuan sedia ada sahaja tidak mencukupi. Pemikiran memerlukan kebolehan mencari maklumat yang ada dalam ingatan dan menyepadukannya dengan maklumat baru.

Sintesis maksud pemikiran daripada beberapa takrifan

Pemikiran:

  • Ialah satu proses mental yang memerlukan pengetahuan
  • Melibatkan pengolahan kemahiran-kemahiran mental tertentu
  • Ditujukan kearah penyelesaian masalah
  • Tingkahlaku dihasilkan
  • Merupakan sikap

Konklusi: Pemikiran boleh dibaiki atau diasah atau boleh dipelajari jika tidak memuaskan. Pemikiran yang kerapkali digunakan akan menjadi tajam atau pintar.

BAGAIMANA MENGEMBANGKAN KEMAHIRAN BERFIKIR

Terlebih dahulu pelajar perlu menguasai semua isi kandugan sesuatu mata pelajaran  sebelum mereka dapat berfikir. Tanpa pengetahuan dan maklumat yang lengkap kita tidak dapat berfikir dengan efisen. Penghafalan fakta-fakta diutamakan dengan cara pengulangan dan latih tubi. Pemikiran tidak dapat dipisahkan daripada penguasaan fakta. Misalnya, pelajar yang ditugaskan membuat perbandingan (satu aktiviti pemikiran) harus mencari fakta-fakta untuk membuat perbandingan. Proses mencari ini meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran. Pemikiran ialah satu cara pembelajaran.

Dengan memperbanyakkan ujian dalam bentuk subjektif dan ujian yang memerlukan pelajar mencari fakta diluar buku teks. Atau dengan lain perkataan ujian dalam soalan-soalan peringkat tinggi.

Pemikiran dan tingkahlaku

Terdapat kaitan yang rapat antara pemikiran dengan tingkahlaku pelajar. Contohnya, pelajar yang impulsif, iaitu mereka yang bertindak atau bereaksi tergesa-gesa, jika dilatih berfikir dapat mengurangkan kelakuan sedemikian. Mereka boleh diasuh mengambil masa berfikir sebelum bertindak. Lagi satu sifat yang berkaitan dengan kurang kemahiran berfikir dipamerkan oleh pelajar yang sangat bergantung kapada guru. Apakah yang akan terjadi kapada mereka apabila mereka tidak lagi menerima bantuan sesiapa?

Pelajar yang tidak dapat menumpukan perhatian kapada pelajaran mereka. Cara menangani masalah tersebut, mereka harus diberikan aktiviti-aktiviti yang memerlukan mereka berfikir dan menggunakan minda mereka. Hanya dengan demikian mereka dapat dirangsang untuk belajar. Kefahaman yang lemah dikalangan sesetengah pelajar. Jika pemikiran mereka dicabar dan pelajar digalakkan menggunakan minda mereka, latihan tubi serta pengulangan, kefahaman apa yang dipelajarai akan meningkat.

Pelajar yan dogmatik dan tidak fleksibel, pelajar seumpama ini berpegang kapada pendapat tertentu tanpa mahu berganjak atau dapat menyokong pendirian mereka. Mereka tidak mahu menerima sesuatu kenyataan itu mungkin benar atau salah. Walaupun tidak cukup bukti untuk menyokong pendapat mereka, mereka masih mendesak yang pendapat mereka adalah betul dan muktamad. Mereka juga enggan menerima atau mencuba kaedah atau idea baru. Mereka perlu diajar berfikir supaya dapat melihat sesuatu masalah daripada banyak sudut dan tidak terkongkong kepada satu cara serta bersedia mencuba idea dan kaedah baru.

Terdapat juga segolongan pelajar yang kurang yakin dengan pemikiran sendiri. Mereka enggan menyumbang, segan dan takut pada kritikan. Mereka hanya menyatakan pendapat mereka sekiranya mereka yakin jawapannya adalah betul. Terdapat juga pelajar yang enggan berfikir dan berpendapat semua pemikiran haruslah dilakukan oleh orang lain dan mereka hanya memberikan jawapan apa yang terkandung dalam buku teks sahaja. Mereka ini bersifat tidak berminat menjalankan projek, berbincang atau melakukan sebarang kegiatan yang memerlukan mereka berfikir.

Nota: Kelakuan-kelakuan pelajar yang disenaraikan diatas pada umumnya ada kaitannya dengan kemahiran berfikir yang kurang berkesan.

Nota: Pelajar yang mengalami kesukaran belajar boleh juga dikaitkan dengan faktor-faktor fizikal dan perlu menerima perhatian pakar perubatan. Sebaliknya juga boleh disebabkan oleh masalah emosi. Kedua-dua faktor ini tidak boleh dikaitkan dengan kekurangan kemahiran berfikir.

Konklusi: Bolehkah pelajar diajar berfikir dengan lebih berkesan? YA. Kemahiran berfikir ialah satu kemahiran samulajadi yang dipengaruhi oleh keadaan persekitaran pelajar. Keadaan persekitaran mereka memainkan peranan penting  dalam menentukan tahap pemikiran mereka. Apabila disebut mengajar kemahiran berfikir hasratnya bukanlah mengajar pelajar APA yang harus difikir tetapi BAGAIMANA berfikir. Matlamatnya adalah meningkatkan keberkesanan mereka berfikir.

Sekolah tidak perlu membawa perubahan; kanak-kanak itu sendiri akan membawa perubahan sekiranya persekolahan kaya dengan pengalaman yang berkaitan dengan pelbagai operasi pemikiran.

A Little Black Pen

Advertisements

%d bloggers like this: